untuk dia :)

Aku telah membaca coretanmu.
Terima kasih atas nasihat dan sikap mengambil beratmu terhadap diriku.
Kau menganggap aku telah mengecewakanmu
tetapi hakikatnya aku lebih terluka dan ditinggalkan.
Setelah aku renung kembali apa yang terjadi,
 ternyata membawa duka lara di hati ini.
Sebenarnya sepedih-pedih hatimu, pedih lagi hatiku.

Aku sedar tutur kataku yang selalu menyinggung perasaanmu,
juga setiap perkataanmu tidak pernah dibalasi sewajarnya.
Ketahuilah tidak pernah terniat di hati ini untuk mengguris perasaanmu.
Cuma aku bimbang terlalu berharap dan sudahnya nanti aku dikecewakan.
Ingin kutegaskan di sini tiada cinta pandang pertama dalam hidupku seperti yang kau sangkakan.

Bagiku cinta terlalu sukar dimengertikan.
Bagiku paras rupa bukan ukuran tetapi hati budi yang berjaya memenangi hatiku.
Aku mengagumi keperibadian dan sikap bersungguh-sungguh yang kau tunjukkan.
Cintaku juga bukan terlahir kerana cuba mengisi kesunyian selepas ditinggalkan kekasih.
Tidak juga kerana berpura-pura seperti yang kau yakini tapi dengan niat yang ikhlas.
Walaupun aku kelihatan tidak bersungguh-sungguh tapi kau di hatiku selalu,
seboleh-bolehnya aku mahu lakukan yang terbaik untukmu.

Ketika lamaran datang, aku masih tidak menyedari ada sendu di hatimu.
Aku cuba menjelaskannya kerana tidak mahu melukakan hatimu tetapi tiada kepastian.
Sebaliknya aku percaya kau akan mengunjungiku seperti yang dilafazkan.
Kau cuma tidak mampu menidakkan kenyataan hatimu.
 Tapi natijahnya aku seorang yang merasainya.

Bagiku kau terlalu baik untuk dilukai,
salahkanlah diriku andai itu dapat memberi ketenangan buatmu.
Tapi cubalah renungkan sejenak, sebenarnya akulah insan yang terluka itu.
Cintaku ikhlas dan tidak meminta balasan,
aku sudah cukup gembira dengan kasih yang diberi
dan bahagia dengan cintamu walaupun hanya seketika.

 Biarlah aku pendam segala kelukaan ini seorang diri.
Aku tetap bersyukur kerana kau pernah menemaniku dalam perjalanan yang panjang ini.
 Aku harap kau dapat menganggapku sebagai sahabat dan bukan musuhmu.
 Akhir kata, maaf kupinta dan pulangkan kembali gambar yang pernah kau pinta dariku dahulu
kerana ia terlalu peribadi dan tidak pernah kuberikan kepada sesiapa pun sebelum ini.

0 comments:




Related Posts with Thumbnails